Tuesday, March 23, 2010

Analisis Sastera (Orkidnya sudah menjadi)

a) Sepertimana yang dipaparkan dalam petikan cerpen "Orkidnya Sudah Menjadi", Jamal merupakan seorang yang prihatin terhadap pendidikan anak-anaknya. Ini bermakna bahawa Jamal, seorang bapa kepada dua orang anak, mahu mereka cemerlang daripada segi akademik. Ini jelas terlihat daripada bahagian pertama cerpen ini, iaitu percakapan di antara Jamal dan kedua anaknya, " 'Kenapa tak lulus ni, Adli?' tanya Jamal kesal..... ' Banyak yang merah. Tak lulus Bahasa Melayu? Apa nak jadi ni? Bodoh. Banyak main sahaja?' tengking Jamal dengan lantang." Percakapan di antara anak beranak ini menunjukkan betapa kesal dan marah Jamal terhadap keputusan anak-anaknya. Tambahan lagi, Jamal sanggup mencaci anaknya dengan memanggilnya "bodoh". Ini menunjukkan keprihatinan Jamal terhadap pendidikan anak-anaknya.

Kedua, Jamal merupakan seorang yang tegas. Ketegasan Jamal jelas terlihat daripada gaya percakapannya dengan anak-anaknya serta dia tetap dengan pendiriannya. Ini jelas terlihat daripada, " 'Buku kira-kira Aliza ayah belum beli,' sahut Aliza tertahan-tahan. 'Diam! Kecik-kecik dah pandai menjawab,' sembur Jamal dengan keras." Ketika Aliza menyuarakan pendapatnya, ayahnya Jamal menyahut pendapatnya dengan keras, tetap dengan pendiriannya. Ini menunjukkan betapa tegas Jamal sebagai seorang bapa.

Ketiga, Jamal merupakan seorang yang tidak bertanggungjawab. Ini bermakna bahawa walaupun dia inginkan anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran, dia langsung tidak berusaha untuk membantu kedua anaknya untuk mencapai kecemerlangan. Ini jelas terlihat daripada ayat, " 'Ini pun satu. Banyak merah. Tak lulus. Kira-kira tak lulus,' sergah si ayah. 'Buku kira-kira Aliza ayah belum beli,' sahut Aliza tertahan-tahan." Ini menunjukkkan bahawa kegagalan Aliza dalam mata pelajaran kira-kira ialah akibat bapanya belum membeli buku kira-kira untuk kegunaan Aliza. Tambahan lagi, Jamal tidak mahu mengakui kesalahan serta memarahi Aliza lagi. Ini menunjukkan bahawa Jamal seorang bapa yang tidak bertanggungjawab.

Seterusnya, Jamal merupakan seorang yang panas baran. Ini membawa maksud bahawa Jamal cepat menjadi marah. Ini jelas terlihat daripada perenggan pertama cerpen karya Khadijah Hashim ini, "Wajahnya segera berubah bengis dan garang." Ini menunjukkan bahawa akibat kegagalan Adli dalam suatu peperiksaan, Jamal berasa marah sehingga memanggil anaknya "bodoh". Ini menunjukkan bahawa Jamal seorang yang panas baran.

b) Asiah berasa sangat riang terhadap bunga orkid yang ditanamnya. Ini kerana mereka baru sahaja menanamnya tetapi ia sudah berbunga dalam jangka masa yang pendek. Telatahnya yang mengurut-urut kuntum bunga yang baru berbunga bak mengurut kepala anak kecilnya menunjukkan bahawa Asiah amat menyayangi bunga orkid yang ditanamnya dengan penuh kasih sayang sepertimana dia mengasihi anak-anaknya, Adli dan Aliza.

c) Jamal melafazkan ungkapan tersebut kerana dia kesal dengan pencapaian anak-anaknya daripada segi pelajaran seketika itu. Kedua-dua anaknya, Adli dan Aliza, gagal dalam peperiksaan dan ini mengecewakan Jamal. Ini jelas terlihat daripada ayat, " 'Banyak merah. tak lulus Bahasa Melayu? Apa nak jadi ini? Bodoh. Banyak main saja?' tengking Jamal dengan lantang..... 'Ini pun satu. Banyak merah. Tak lulus. Kira-kira tak lulus,' sergah si ayah." Kegagalan Adli dalam mata pelajaran Bahasa Melayu serta kegagalan Aliza dalam mata pelajaran Matematik membuat Jamal amat kecewa lalu melafazkan ungkapan tersebut.

Kedua, Jamal berpendapat bahawa dia tidak melakukan tugasnya sebagai seorang bapa dengan sempurna. Dia tidak sesekali berusaha untuk membantu anak-anaknya belajar dengan betul. Ini jelas terlihat daripada ayat, " 'Buku kira-kira Aliza ayah belum beli,' sahut Aliza tertahan-tahan." Ini menunjukkan bahawa walaupun Jamal inginkan kedua anaknya cemerlang dalam pendidikan sekolah, dia tidak berusaha untuk membantu anaknya mencapai kegemilangan tersebut. Tambahan lagi, merujuk kepada ayat, " 'Tapi... anak-anak kita tak ada yang menjadi Asiah!' sambungnya tertahan-tahan menahan perasaan hampa dan kecewanya." Jamal didapati amat kesal kerana ini. Ini menunjukkan bahawa tugas Jamal sebagai seorang bapa tidak dilaksanakan dengan sempurna dan dia kesal kerana ini.

Ketiga, Jamal melafazkan ungkapan itu kerana dia kesal dengan telatah Aliza terhadap Jamal. Aliza didapati kurangajar dan biadap terhadap bapanya Jamal daripada cerpen ini. Ini jelas terlihat daripada ayat, " 'Ini pun satu. Banyak merah. Tak lulus. Kira-kira tak lulus,' sergah si ayah. 'Buku kira-kira Aliza ayah belum beli,' sahut Aliza tertahan-tahan." Oleh itu, Jamal melafazkan ungkapan itu kerana dia berfikiran bahawa anaknya, Aliza, tidak menjadi seorang anak perempuan yan baik dan solehah.

Seterusnya, Jamal berpendapat bahawa Adli seorang anak lelaki yang penakut serta tidak berani menegakkan kebenaran. Ini kerana apabila Jamal memarahi Adli kerana gagal dalam peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu, Adli tidak sanggup menegakkan kebenaran bahawa Jamal tidak melakukan apa-apa untuk membantu anaknya belajar. Tambahan lagi, Jamal memarahi anak-anaknya walaupun dia yang bersalah. Justeru, Jamal melafazkan ungkapan tersebut kerana dia kesal bahawa anaknya, Adli, tidak berkelakuan seperti seorang lelaki yang berani menegakkan kebenaran.