Friday, January 23, 2009

Kehadiran Cikgu Sazali...

Pada hari Khamis yang lalu(22/01/09), Cikgu Sazali mengambil tempat Cikgu Manaf sebagai guru Sastera Melayu kami. Kami diberitahu beliau bahawa Cikgu Manaf tidak dapat hadir pada hari itu kerana terpaksa mengendalikan sesuatu perkara. Seterusnya ialah segala yang saya pelajari daripada Cikgu Sazali pada hari tersebut.

Definisi Kesusasteraan
- Ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa
- Berasal daripada cantuman kata 'su' dan 'sastra' (Bahasa Sanskrit)
- Apitan 'ke-...-an' bagi bentuk kata nama
- Su = baik, indah, cantik, berguna
- Sastra = karya (lisan/bertulis) atau buku
- Susastra = karya (lisan/bertulis) yang indah dan berguna
- Kesusasteraan = semua bentuk karya bernilai seni dan berguna

Fungsi Kesusasteraan

Kepada khalayak:
- menyampaikan pengajaran
- menyampaikan pendidikan
- memberikan hiburan

Kepada pengarang:
- mendapatkan kepuasan atau keseronokan
- memperbaiki dan menajamkan pemikiran
- berbakti kepada masyarakat
- menyara kehidupan

Ciri-ciri Kesusasteraan
- Sastera lisan}____________ (lipur lara, pantun)
- Sastera tulisan} __________ (sastera hikayat, gurindam)
- Karya kreatif} ___________ (naratif lisan, naratif tulisan)
- Karya bukan kreatif} ______ (kritikan)
- Unsur-unsur estetika}_____ (rima, diksi, bahasa-bahasa puitis)

Cikgu Sazali juga mengajar kami kelainan struktur pantun berbanding dengan struktur syair. Seterusnya merupakan lanjutan kepada pos saya mengenai struktur pantun beberapa hari yang lalu.

Struktur Pantun / Struktur Syair
- mempunyai "indent" / tidak mempunyai "indent"
- mempunyai ";" pada hujung baris ke-2 / tidak mempunyai ";" pada hujung baris ke-2

Tuesday, January 20, 2009

Perbincangan Ringkas Pantun - Antologi Anak Laut

Pantun berkait...



Semalam, Cikgu Manaf membawa kelas kami ke bilik kelas yang berhawa dingin untuk mengadakan pelajaran Sastera kami. Alangkah, bersyukurnya saya kerana dapat belajar di situ. Sejuknya... Seterusnya, Cikgu Manaf membacakan sebuah pantun kepada kami yang harus kami salinkan. Pantun ini merupakan pantun berkait dan ia mengenai seorang ketua yang telah lama meninggalkan dunia ini, Sir Stamford Raffles:


Burung belibis di atas lantai,

Buah rambai dalam padi;
Tuan Raffles orang yang pandai,

Tahu sungguh mengambil hati.

Buah rambai dalam padi,
Lazat cita pula rasanya;

Pandai sungguh mengambil hati,

Serta dengan budi bahasanya.


Lazat cita pula rasanya,
Jeruju dengan durinya;

Serta dengan budi bahasanya,
Setuju pula dengan isterinya.

Jeruju dengan durinya,

Di tepi jalan orang berlari;

Setuju pula dengan isterinya,
Seperti bulan dengan matahari.


Dipetik dari
Karya Agung Pantun Melayu, 2001

Struktur sesebuah Pantun

Pada hari Jumaat yang lalu, iaitu pada 16 Januari 09, Cikgu Manaf bertungkus-lumus mengajar kami sekelas tentang struktur pantun. Walaupun struktur sesebuah pantun itu amat mudah difahami, malangnya hanya segelintir daripada generasi muda masa kini yang tahu mengenainya. Malah, saya, sebagai anak buah Cikgu Manaf, akan membincangkan struktur pantun sebagaimana yang diajar oleh beliau.

Irama: Ghazal
Tajuk: Pulau Pisang

(Subjek) / (Predikat)
Pulau pisang / rumah api, }________ pembayang, 8 suku kata
Pedoman kapal / belayar malam; }__ pembayang, 10 suku kata
Sebelum ajal / berpantang mati, }___ maksud, 10 suku kata
Walau tercampak /lautan dalam. }__ maksud, 10 suku kata

Pedoman kapal / belayar malam, }__ pembayang, 10 suku kata
Sarat bermuat / buah keranji; }_____ pembayang, 10 suku kata
Walau tercampak / lautan dalam,}__ maksud, 10 suku kata
Tidak lupa segala / janji. }_________ maksud, 9 suku kata

Seterusnya merupakan ciri-ciri ataupun struktur pantun:

1) 2 baris awal ialah pembayang maksud
2) 2 baris akhir ialah maksud pantun
3) Setiap baris mempunyai 8 hingga 12 suku kata
4) Kosa kata pantun berunsurkan alam
5) Hujung baris 1 & 3 harus berima (aa) dan hujung baris 2 & 4 harus berima (bb)

Kelainan pada syair:

1) Tidak mempunyai pembayang
2) Hujung baris 1 hingga 4 berima (aaaa)

Mari selami...

Glosari Sastera 1
View more presentations or upload your own. (tags: sastera o)
Glosari Sastera 2
View more presentations or upload your own. (tags: sastera o)


Saturday, January 10, 2009

Pantun yang Berbagai-bagai?

Pantun adat:

Lebat daun bunga tanjung,
Berbau harum bunga cempaka;
Adat dijaga pusaka dijunjung ,
Baru terpelihara adat pesaka.

Dipetik dari: http://penyair.wordpress.com/2007/11/29/pantun-adat/

Pantun kasih-sayang:

Hijau daun diranting kayu,
Mayang ditabuh bulir hamburan;
Hajat dikirim di angin lalu,
Sayang dihembus balik haluan.

Dipetik dari: http://ms.wikipedia.org/wiki/Pantun#Pantun_Percintaan

Pantun nasihat:

Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.

Dipetik dari: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=2059.0

Pantun peribahasa:

Berakit-rakit kehulu,
Berenang-renang ke tepian;
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

Dipetik dari: http://penyair.wordpress.com/2007/06/21/pantun-peribahasa-2/

Pantun kanak-kanak:

Timang tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap;
Belum tumbuh gigi,
Pandai baca kitab.

Dipetik dari: http://penyair.wordpress.com/2008/06/10/pantun-kanak-kanak/

Pengajaran Cikgu Manaf...

Pada hari Khamis yang lalu, Cikgu Manaf, guru Sastera Melayu saya, mendidik kelas saya mengenai syair serta pantun. Kami diberitahu bahawa syair amat berbeza daripada pantun. Untuk membuktikan kata-katanya, beliau memainkan sebuah lagu pada alat pemain muziknya lalu menyuruh kami sekelas menyalinkan lirik lagu tersebut.


Irama: Ghazal
Lagu: Seri Siantan


Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Biarpun jauh beribu batu,
Hilang di mata di hati jangan.

Kalau tidak selendang Bali,
Serindit makan kelapa muda;
Kalau tidak kenang sekali,
Kenang sedikit adalah juga.


Setelah lagu ini dimainkan, saya rasa amat terharu dengan cara pantun tersebut dinyanyikan. Cikgu Manaf pula memberitahu kami bahawa perkataan pada hujung ayat lazimnya diketengahkan. Ini supaya mesej yang ada pada sesebuah lagu itu dapat disampaikan.
Justeru, Cikgu Manaf menyuruh kami menyenaraikan pantun-pantun yang membabitkan
adat, kasih sayang, nasihat, peribahasa, kanak-kanak dan sebagainya. Ini akan saya lakukan pada pos yang seterusnya.

Definisi Pantun...

Pantun merupakan salah satu jenis puisi lama yang sangat luas dikenal dalam bahasa-bahasa Nusantara. Dalam bahasa Jawa, misalnya, dikenal sebagai parikan dan dalam bahasa Sunda dikenal sebagai paparikan. Lazimnya pantun terdiri atas empat larik (atau empat baris bila dituliskan), bersajak akhir dengan pola a-b-a-b (tidak boleh a-a-a-a, a-a-b-b, atau a-b-b-a). Pantun pada mulanya merupakan sastera lisan namun sekarang dijumpai juga pantun yang tertulis.

Semua bentuk pantun terdiri atas dua bahagian: sampiran dan isi. Sampiran adalah dua baris pertama, kerap kali berkaitan dengan alam (mencirikan budaya agraris masyarakat pendukungnya), dan biasanya tidak punya hubungan dengan bahagian kedua yang menyampaikan maksud selain untuk mengantarkan rima/sajak. Dua baris terakhir merupakan isi, yang merupakan tujuan dari pantun tersebut.

Karmina dan talibun merupakan bentuk kembangan pantun, dalam artian memiliki bagian sampiran dan isi. Karmina merupakan pantun "versi pendek" (hanya dua baris), sedangkan talibun adalah "versi panjang" (enam baris atau lebih).

Dipetik dari: http://www.duniasastra.com/definisipantun.htm

Friday, January 9, 2009

Permulaan...

Salam,

Selamat datang ke blog Sastera saya ini. Blog ini akan menemani anda dalam menakluki alam
Sastera Melayu. Walaupun blog ini tidak seberapa hebat, saya harap anda berkesempatan untuk membacanya lalu menimba ilmu menerusi blog ini. Apa lagi, mari kita mulakan pengembaraan kita ini!