Monday, October 4, 2010
M. Nasir - KepadaMu Kekasih
KepadaMu Kekasih
Aku berserah
Kerana ku tahu
Kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini
Apa yang tersirat di hati
Bersama amali
KepadaMu Kekasih
Aku bertanya
Apakah Kau akan menerimaku kembali
Atau harus menghitung lagi
Segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi
Tanpa harga diri
Hanya padaMu Kekasih
Aku tinggalkan
Jawapan yang belum ku temukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu
KepadaMu Kekasih
Aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya
Apakah Kau akan menerima penyerahan ini
Apakah Kau akan menerimaku
Dalam keadaan begini
M. Nasir - Insan dan Manikam
Ya insan yang hadir
Dengarkan semua
Ku isytiharkan dengan hati terbuka
Ya insan yang daif
Insaflah semua
Manikam yang di sangkakan
Bukan yang asli
Hanya seiras dan serupa
Ya insan yang hagas
Awasilah semua
Maya yang indah
Ada kudisnya
Jangan terpedaya
Angin yang membawa berita
Pancaindera yang memang lemah
Mudah terkeliru
Pak tua menangis sendiri
Mengenangkan nasib diri
Walaupun puas mencari
Namun belum ketemui
Cik Buyung riang selalu
Damai dan senang hati
Walaupun tak berusaha
Dia ketemui
Dia ketemui
Apa dicari
Dia ketemui
Yang abadi
Dia ketemui
Alam yang membawa cerita
Pancaindera yang memang lemah
Mudah terkeliru
Monday, August 9, 2010
Monday, April 12, 2010
Analisis Sastera - Lorong Engku Aman
b) Terdapat beberapa perubahan yang jelas dilihat daripada sajak ini yang berlaku pada Lorong Engku Aman. Perubahan pertama yang jelas dilihat ini ialah bangunan-bangunan tinggi seperti rumah flat telah mula didirikian. Ini jelas dilihat daripada rangkap pertama, baris ketiga hingga keempat:
Zaman-zaman muka yang segar
Perubahan yang tinggi mencakar. (R1B3-4)
Perubahan kedua yang berlaku pada Lorong Engku Aman ialah penternakan haiwan sudah mula pupus. Ini jelas dilihat daripada baris, "Ternakan tak berpunya". (R2B2) Perubahan yang ketiga pula ialah keluarga-keluarga semakin kecil. Ini kerana polisi pemerintah yang diadakan tidak lama dahulu yang bernama "Two Is Enough" ataupun dua cukup sempurna. Ini jelas dilihat daripada:
Anak rancangan keluarga
Dua cukup sempurna. (R2B3-4)
Tambahan lagi, akibat kepesatan zaman sekarang, semua orang semakin sibuk dengan hal-hal duniawi. Malah, perhubungan di antara sata sama lain tidak semesra seperti dahulu. Adat dan budaya masing-masing juga tidak dihiraukan serta diketepikan bag urusan-urusan duniawi. Ini jelas dilihat daripada:
Bicara tak bersuara
Bertemu cukup angguk
Semua dinamis semua sibuk
Urusan ya urusan negara. (R3B1-4)
Hidup jadi padat
Buang yang mengikat
Adat yang menjerat
Di sini tak mendapat tempat. (R4B1-4)
c) Sajak "Lorong Engku Aman" karya Masuri S.N. akhirnya mengenengahkan perkara-perkara yang menjadi keprihatinan penyajak semenjak pembaharuan-pembaharuan yang dialami lorong tersebut. Penyajak didapati amat tidak senang dengan zaman muka yang cukup berbeza daripada yang dahulu.
Perkara- pertama yang menjadi keprihatinan Masuri S.N. ialah bangunan-bangunan yang tinggi seperti rumah flat yang telah didirikan di Lorong Engku Aman. Ini jelas dilihat daripada rangkap pertama, baris empat, "Perumahan yang tinggi mencakar."
Perkara kedua yang menjadi keprihatinan penyajak ialah keluarga-keluarga yang semakin kecil akibat polisi pemerintah yang mengatakan bahawa "Two Is Enough" ataupun 'dua mencukupi'. Ini mungkin mendatangkan ketidaksenangan kepada penyajak kerana cara hidupnya pada zaman mudanya di Lorong Engku Aman yang asyik bergotong-royong melakukan sesuatu, seperti mengemas rumah untuk Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya. Tambahan lagi, mungkin kerana penyajak berfikiran bahawa keluarga majmuk yang semakin kecil tidak dapat mendatangkan kemeriahan kepada masyarakat kerana semakin sedikit kanak-kanak untuk memeriahkan suasana tempat tersebut. Ini jelas dilihat daripada:
Anak rancangan keluarga
Dua cukup sempurna. (R2B3-4)
Perkara ketiga yang menjadi keprihatinan penyajak adalah berkenaan masyarakat zaman moden yang terlalu sibuk dengan urusan-urusan duniawi. Ini seterusnya mengakibatkan kepada hubungan di antara satu sama lain yang tidak lagi mesra, tidak lagi beregur sapa dan sebagainya. Ini jelas dilihat daripada:
Bicara tak bersuara
Bertemu cukup angguk
Semua dinamis semua sibuk
Urusan ya urusan negara. (R3B1-4)
Akhirnya, penyajak ingin mengingati para pembaca supaya terus memperjuangkan adat dan budaya masing-masing. Ini kerana melalui sajak ini, penyajak mengenengahkan adat dan budaya yang semakin kurang dikerjakan. Ini jelas dilihat daripada:
Hidup jadi padat
Buang yang mengikat
Adat yang menjerat
Di sini tak mendapat tempat. (R4B1-4)
Tuesday, March 23, 2010
Analisis Sastera (Orkidnya sudah menjadi)
Kedua, Jamal merupakan seorang yang tegas. Ketegasan Jamal jelas terlihat daripada gaya percakapannya dengan anak-anaknya serta dia tetap dengan pendiriannya. Ini jelas terlihat daripada, " 'Buku kira-kira Aliza ayah belum beli,' sahut Aliza tertahan-tahan. 'Diam! Kecik-kecik dah pandai menjawab,' sembur Jamal dengan keras." Ketika Aliza menyuarakan pendapatnya, ayahnya Jamal menyahut pendapatnya dengan keras, tetap dengan pendiriannya. Ini menunjukkan betapa tegas Jamal sebagai seorang bapa.
Ketiga, Jamal merupakan seorang yang tidak bertanggungjawab. Ini bermakna bahawa walaupun dia inginkan anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran, dia langsung tidak berusaha untuk membantu kedua anaknya untuk mencapai kecemerlangan. Ini jelas terlihat daripada ayat, " 'Ini pun satu. Banyak merah. Tak lulus. Kira-kira tak lulus,' sergah si ayah. 'Buku kira-kira Aliza ayah belum beli,' sahut Aliza tertahan-tahan." Ini menunjukkkan bahawa kegagalan Aliza dalam mata pelajaran kira-kira ialah akibat bapanya belum membeli buku kira-kira untuk kegunaan Aliza. Tambahan lagi, Jamal tidak mahu mengakui kesalahan serta memarahi Aliza lagi. Ini menunjukkan bahawa Jamal seorang bapa yang tidak bertanggungjawab.
Seterusnya, Jamal merupakan seorang yang panas baran. Ini membawa maksud bahawa Jamal cepat menjadi marah. Ini jelas terlihat daripada perenggan pertama cerpen karya Khadijah Hashim ini, "Wajahnya segera berubah bengis dan garang." Ini menunjukkan bahawa akibat kegagalan Adli dalam suatu peperiksaan, Jamal berasa marah sehingga memanggil anaknya "bodoh". Ini menunjukkan bahawa Jamal seorang yang panas baran.
b) Asiah berasa sangat riang terhadap bunga orkid yang ditanamnya. Ini kerana mereka baru sahaja menanamnya tetapi ia sudah berbunga dalam jangka masa yang pendek. Telatahnya yang mengurut-urut kuntum bunga yang baru berbunga bak mengurut kepala anak kecilnya menunjukkan bahawa Asiah amat menyayangi bunga orkid yang ditanamnya dengan penuh kasih sayang sepertimana dia mengasihi anak-anaknya, Adli dan Aliza.
c) Jamal melafazkan ungkapan tersebut kerana dia kesal dengan pencapaian anak-anaknya daripada segi pelajaran seketika itu. Kedua-dua anaknya, Adli dan Aliza, gagal dalam peperiksaan dan ini mengecewakan Jamal. Ini jelas terlihat daripada ayat, " 'Banyak merah. tak lulus Bahasa Melayu? Apa nak jadi ini? Bodoh. Banyak main saja?' tengking Jamal dengan lantang..... 'Ini pun satu. Banyak merah. Tak lulus. Kira-kira tak lulus,' sergah si ayah." Kegagalan Adli dalam mata pelajaran Bahasa Melayu serta kegagalan Aliza dalam mata pelajaran Matematik membuat Jamal amat kecewa lalu melafazkan ungkapan tersebut.
Kedua, Jamal berpendapat bahawa dia tidak melakukan tugasnya sebagai seorang bapa dengan sempurna. Dia tidak sesekali berusaha untuk membantu anak-anaknya belajar dengan betul. Ini jelas terlihat daripada ayat, " 'Buku kira-kira Aliza ayah belum beli,' sahut Aliza tertahan-tahan." Ini menunjukkan bahawa walaupun Jamal inginkan kedua anaknya cemerlang dalam pendidikan sekolah, dia tidak berusaha untuk membantu anaknya mencapai kegemilangan tersebut. Tambahan lagi, merujuk kepada ayat, " 'Tapi... anak-anak kita tak ada yang menjadi Asiah!' sambungnya tertahan-tahan menahan perasaan hampa dan kecewanya." Jamal didapati amat kesal kerana ini. Ini menunjukkan bahawa tugas Jamal sebagai seorang bapa tidak dilaksanakan dengan sempurna dan dia kesal kerana ini.
Ketiga, Jamal melafazkan ungkapan itu kerana dia kesal dengan telatah Aliza terhadap Jamal. Aliza didapati kurangajar dan biadap terhadap bapanya Jamal daripada cerpen ini. Ini jelas terlihat daripada ayat, " 'Ini pun satu. Banyak merah. Tak lulus. Kira-kira tak lulus,' sergah si ayah. 'Buku kira-kira Aliza ayah belum beli,' sahut Aliza tertahan-tahan." Oleh itu, Jamal melafazkan ungkapan itu kerana dia berfikiran bahawa anaknya, Aliza, tidak menjadi seorang anak perempuan yan baik dan solehah.
Seterusnya, Jamal berpendapat bahawa Adli seorang anak lelaki yang penakut serta tidak berani menegakkan kebenaran. Ini kerana apabila Jamal memarahi Adli kerana gagal dalam peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu, Adli tidak sanggup menegakkan kebenaran bahawa Jamal tidak melakukan apa-apa untuk membantu anaknya belajar. Tambahan lagi, Jamal memarahi anak-anaknya walaupun dia yang bersalah. Justeru, Jamal melafazkan ungkapan tersebut kerana dia kesal bahawa anaknya, Adli, tidak berkelakuan seperti seorang lelaki yang berani menegakkan kebenaran.
Monday, July 27, 2009
Monday, February 2, 2009
Saya pulang...

Makan epal makan pisang,
Ambilkan air dari perigi;
Sudah seminggu saya hilang,
Akhirnya pulang sekali lagi.
Salam, saya ucapkan kepada kamu sekalian. Seterusnya merupakan pantun jawapan kepada kerja rumah yang diberikan Cikgu Manaf. Jikalau ada salah silapnya, harap maafkan. Harap hati anda terhibur!
Pagi-pagi pergi ke kedai,
Hendak beli buah keranji;
Saya memang bijak pandai,
Ayam jantan berkeris di kaki.
Pergi bermain dengan Johari,
Lepas berenang berlari-lari;
Gasing diikat sekuat hati,
Dilempar hidup dipegang mati.
Buah budi bedara mengkal,
Masak sebiji di tepi pantai;
Hilang budi bicara akal,
Buah fikiran tidak bertangkai.
Masak nasi berbagai cara,
Tambah garam ataupun santan;
Sudah saya teka wahai saudara,
Belon jugalah menjadi jawapan.
Masak kuda masak keldai,
Makan kenyang sambil ketawa;
Kalau ziarah sahabat handai,
Buah tangan pasti dibawa.
Tok Samad memasak ikan,
Asam pedas dibuat hidangan;
Oh tangga didaki sekalian,
Indah sungguh segala pemandangan.
Bagaimana, sudahkah anda terhibur?
Friday, January 23, 2009
Kehadiran Cikgu Sazali...
Definisi Kesusasteraan
- Ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa
- Berasal daripada cantuman kata 'su' dan 'sastra' (Bahasa Sanskrit)
- Apitan 'ke-...-an' bagi bentuk kata nama
- Su = baik, indah, cantik, berguna
- Sastra = karya (lisan/bertulis) atau buku
- Susastra = karya (lisan/bertulis) yang indah dan berguna
- Kesusasteraan = semua bentuk karya bernilai seni dan berguna
Fungsi Kesusasteraan
Kepada khalayak:
- menyampaikan pengajaran
- menyampaikan pendidikan
- memberikan hiburan
Kepada pengarang:
- mendapatkan kepuasan atau keseronokan
- memperbaiki dan menajamkan pemikiran
- berbakti kepada masyarakat
- menyara kehidupan
Ciri-ciri Kesusasteraan
- Sastera lisan}____________ (lipur lara, pantun)
- Sastera tulisan} __________ (sastera hikayat, gurindam)
- Karya kreatif} ___________ (naratif lisan, naratif tulisan)
- Karya bukan kreatif} ______ (kritikan)
- Unsur-unsur estetika}_____ (rima, diksi, bahasa-bahasa puitis)
Cikgu Sazali juga mengajar kami kelainan struktur pantun berbanding dengan struktur syair. Seterusnya merupakan lanjutan kepada pos saya mengenai struktur pantun beberapa hari yang lalu.
Struktur Pantun / Struktur Syair
- mempunyai "indent" / tidak mempunyai "indent"
- mempunyai ";" pada hujung baris ke-2 / tidak mempunyai ";" pada hujung baris ke-2
Tuesday, January 20, 2009
Pantun berkait...

Semalam, Cikgu Manaf membawa kelas kami ke bilik kelas yang berhawa dingin untuk mengadakan pelajaran Sastera kami. Alangkah, bersyukurnya saya kerana dapat belajar di situ. Sejuknya... Seterusnya, Cikgu Manaf membacakan sebuah pantun kepada kami yang harus kami salinkan. Pantun ini merupakan pantun berkait dan ia mengenai seorang ketua yang telah lama meninggalkan dunia ini, Sir Stamford Raffles:
Burung belibis di atas lantai,
Buah rambai dalam padi;
Tuan Raffles orang yang pandai,
Tahu sungguh mengambil hati.
Buah rambai dalam padi,
Lazat cita pula rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati,
Serta dengan budi bahasanya.
Lazat cita pula rasanya,
Jeruju dengan durinya;
Serta dengan budi bahasanya,
Setuju pula dengan isterinya.
Jeruju dengan durinya,
Di tepi jalan orang berlari;
Setuju pula dengan isterinya,
Seperti bulan dengan matahari.
Dipetik dari Karya Agung Pantun Melayu, 2001
Struktur sesebuah Pantun
Irama: Ghazal
Tajuk: Pulau Pisang
(Subjek) / (Predikat)
Pulau pisang / rumah api, }________ pembayang, 8 suku kata
Pedoman kapal / belayar malam; }__ pembayang, 10 suku kata
Sebelum ajal / berpantang mati, }___ maksud, 10 suku kata
Walau tercampak /lautan dalam. }__ maksud, 10 suku kata
Pedoman kapal / belayar malam, }__ pembayang, 10 suku kata
Sarat bermuat / buah keranji; }_____ pembayang, 10 suku kata
Walau tercampak / lautan dalam,}__ maksud, 10 suku kata
Tidak lupa segala / janji. }_________ maksud, 9 suku kata
Seterusnya merupakan ciri-ciri ataupun struktur pantun:
1) 2 baris awal ialah pembayang maksud
2) 2 baris akhir ialah maksud pantun
3) Setiap baris mempunyai 8 hingga 12 suku kata
4) Kosa kata pantun berunsurkan alam
5) Hujung baris 1 & 3 harus berima (aa) dan hujung baris 2 & 4 harus berima (bb)
Kelainan pada syair:
1) Tidak mempunyai pembayang
2) Hujung baris 1 hingga 4 berima (aaaa)
Mari selami...
Dipetik dari: http://cikgumanaf.blogspot.com/
Saturday, January 10, 2009
Pantun yang Berbagai-bagai?
Lebat daun bunga tanjung,
Berbau harum bunga cempaka;
Adat dijaga pusaka dijunjung ,
Baru terpelihara adat pesaka.
Dipetik dari: http://penyair.wordpress.com/2007/11/29/pantun-adat/
Pantun kasih-sayang:
Hijau daun diranting kayu,
Mayang ditabuh bulir hamburan;
Hajat dikirim di angin lalu,
Sayang dihembus balik haluan.
Dipetik dari: http://ms.wikipedia.org/wiki/Pantun#Pantun_Percintaan
Pantun nasihat:
Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.
Dipetik dari: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=2059.0
Pantun peribahasa:
Berakit-rakit kehulu,
Berenang-renang ke tepian;
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.
Dipetik dari: http://penyair.wordpress.com/2007/06/21/pantun-peribahasa-2/
Pantun kanak-kanak:
Timang tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap;
Belum tumbuh gigi,
Pandai baca kitab.
Dipetik dari: http://penyair.wordpress.com/2008/06/10/pantun-kanak-kanak/
Pengajaran Cikgu Manaf...
Irama: Ghazal
Lagu: Seri Siantan
Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Biarpun jauh beribu batu,
Hilang di mata di hati jangan.
Kalau tidak selendang Bali,
Serindit makan kelapa muda;
Kalau tidak kenang sekali,
Kenang sedikit adalah juga.
Setelah lagu ini dimainkan, saya rasa amat terharu dengan cara pantun tersebut dinyanyikan. Cikgu Manaf pula memberitahu kami bahawa perkataan pada hujung ayat lazimnya diketengahkan. Ini supaya mesej yang ada pada sesebuah lagu itu dapat disampaikan.
Justeru, Cikgu Manaf menyuruh kami menyenaraikan pantun-pantun yang membabitkan adat, kasih sayang, nasihat, peribahasa, kanak-kanak dan sebagainya. Ini akan saya lakukan pada pos yang seterusnya.
Definisi Pantun...
Pantun merupakan salah satu jenis puisi lama yang sangat luas dikenal dalam bahasa-bahasa Nusantara. Dalam bahasa Jawa, misalnya, dikenal sebagai parikan dan dalam bahasa Sunda dikenal sebagai paparikan. Lazimnya pantun terdiri atas empat larik (atau empat baris bila dituliskan), bersajak akhir dengan pola a-b-a-b (tidak boleh a-a-a-a, a-a-b-b, atau a-b-b-a). Pantun pada mulanya merupakan sastera lisan namun sekarang dijumpai juga pantun yang tertulis.
Semua bentuk pantun terdiri atas dua bahagian: sampiran dan isi. Sampiran adalah dua baris pertama, kerap kali berkaitan dengan alam (mencirikan budaya agraris masyarakat pendukungnya), dan biasanya tidak punya hubungan dengan bahagian kedua yang menyampaikan maksud selain untuk mengantarkan rima/sajak. Dua baris terakhir merupakan isi, yang merupakan tujuan dari pantun tersebut.
Karmina dan talibun merupakan bentuk kembangan pantun, dalam artian memiliki bagian sampiran dan isi. Karmina merupakan pantun "versi pendek" (hanya dua baris), sedangkan talibun adalah "versi panjang" (enam baris atau lebih).
Dipetik dari: http://www.duniasastra.com/definisipantun.htm
Friday, January 9, 2009
Permulaan...
Selamat datang ke blog Sastera saya ini. Blog ini akan menemani anda dalam menakluki alam Sastera Melayu. Walaupun blog ini tidak seberapa hebat, saya harap anda berkesempatan untuk membacanya lalu menimba ilmu menerusi blog ini. Apa lagi, mari kita mulakan pengembaraan kita ini!